Mulakan Dengan

Mulakan Dengan
Showing posts with label tazkirah. Show all posts
Showing posts with label tazkirah. Show all posts

20130826

++ Guna Beg Kolostomi Tak Dianggap Bawa Najis ++

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan yang bersidang pada September 2007 membincangkan hukum pelaksanaan ibadah bagi pesakit yang menggunakan beg kolostomi dan memutuskan:

~  Pesakit yang menggunakan beg kolostomi dikategorikan sebagai mereka yang mengalami masalah darurat dan tidak dianggap sebagai menanggung najis.  Oleh itu, mereka tidak perlu mengosongkan atau membersihkan beg kolostomi setiap kali berwuduk atau menunaikan solat.

~  Wuduk yang diambil oleh pesakit harus digunakan untuk melaksanakan semua ibadah termasuk menunaikan fardu solat sehingga wuduk berkenaan terbatal.

~  Isu batal wuduk apabila keluar sesuatu menerusi salah satu daripada dua kemaluan seperti yang dibahaskan oleh ulama adalah dalam konteks orang yang sihat.  Bagi yang berpenyakit atau mengalami masalah keluar sesuatu di luar kawalan, Islam memberikan kaedah penyucian dan pelaksanaan ibadah kerana mereka dianggap orang yang dalam keuzuran.

~  Masalah kolostomi berbeza dengan masalah sulus al-bawl (kencing berterusan) kerana kebersihannya lebih terjamin.  Oleh itu dari sudut hukum, ia tidak boleh qias kepada mereka yang mengalami sulus al-bawl.

~  Memandangkan pengeluaran najis bagi mereka yang mengalami masalah kolostomi tidak boleh dikawal, mereka dianggap berada dalam keadaan darurat yang tidak terikat dengan taklif syarak dalam beberapa aspek ibadah.  Mereka juga tidak dianggap sebagai menanggung najis dan boleh melaksanakan semua ibadah.

~  Pesakit kolostomi dibolehkan mengambil sekali wuduk untuk semua ibadah yang hendak dilaksanakan sekiranya wuduk berkenaan tidak terbatal.  Tetapi sekiranya tiada kesukaran bagi mereka untuk memperbaharui wuduk, ia adalah disunatkan.

~  Islam adalah agama yang memberi kemudahan.  Oleh itu pesakit tidak wajar disyaratkan untuk mengosongkan atau membersihkan beg kolostomi setiap kali berwuduk kerana ia akan menyukarkan mereka melakukan ibadah.


> Harian Metro 24 Ogos 2013 <





20130412

++ Kesetiaan ++


Kekayaan yg paling kaya ialah AKAL..
Kemiskinan yg paling besar ialah JAHIL...
keburukan yg paling hodoh ialah SESAT....

Tak perlu mencari teman secantik BALQIS,
andai diri tak sehebat SULAIMAN...
Mengapa mengharap teman setampan YUSOF,
jika kasih tak setulus ZULAIKHA...
tak perlu mencari teman seteguh IBRAHIM,
andai diri tak sekuat HAJAR....
dan mengapa didamba teman sesempurna MUHAMMAD S.A.W.,
jika ada keburukan pada dirimu........

Bimbinglah kekurangan itu sebagai keunikan...
carilah kebaikan pada dirinya....
bersyukurlah kerana dipertemukan dengan nya.....
berdoalah dia milik kita selamanya....insyaALLAH......

~  Tak guna ada MATA kalau tak dapat Melihat....
tak guna ada HATI kalau tak dapat Menilai.....  ~












20130329

++ Renungan Terbaik Untuk Kaum Wanita Bergelar Isteri ++







Mengapa Redha suami itu adalah syurga bagimu wahai para isteri:

1. Suamimu dibesarkan oleh ibu yang mencintainya seumur hidup. Namun ketika dia dewasa, dia memilih mencintaimu yang bahkan belum tentu mencintainya seumur hidupmu, bahkan sering kali rasa cintanya padamu lebih besar daripada cintanya kepada ibunya sendiri.

2. Suamimu dibesarkan sebagai lelaki yang ditanggung nafkahnya oleh ayah dan ibunya sehingga dia meningkat dewasa. Namun sebelum dia mampu membalasnya, dia telah bertekad menanggung nafkahmu, perempuan asing yang baru sahaja dikenalinya dan hanya terikat dengan akad nikah tanpa ikatan rahim seperti ayah dan ibunya.

3. Suamimu redha menghabiskan waktunya untuk mencukupi keperluan anak-anak kamu dan dirimu. Padahal dia tahu, di sisi Allah, engkau lebih harus di hormati tiga kali lebih besar oleh anak-anak kamu berbanding dirinya. Namun tidak pernah sekalipun dia merasa iri hati, disebabkan dia mencintaimu dan berharap engkau memang mendapatkan yang lebih baik daripadanya di sisi Allah.

4. Suamimu berusaha menutupi masalahnya dihadapanmu dan berusaha menyelesaikannya sendiri. Sedangkan engkau terbiasa mengadukan masalahmu pada dia dengan harapan dia mampu memberi penyelesaian. padahal boleh sahaja disaat engkau mengadu itu, dia sedang mempunyai masalah yang lebih besar. namun tetap saja masalahmu di utamakan berbanding masalah yang dihadapi sendiri.

5. Suamimu berusaha memahami bahasa diammu, bahasa tangisanmu. sedangkan engkau kadang hanya mampu memahami bahasa lisannya saja. Itupun bila dia telah mengulanginya berkali-kali.

6. Bila engkau melakukan maksiat, maka dia akan ikut terseret ke neraka, kerana dia ikut bertanggung jawab akan maksiatmu. Namun bila dia bermaksiat, kamu tidak akan pernah di tuntut ke neraka. kerana apa yang dilakukan olehnya adalah hal-hal yang harus dipertanggung jawabkannya sendiri ...



By: Halimislam Online











20130222

++ Tertib Susunan Wali ++

Ketiadaan wali dlm perkahwinan boleh menyebabkan nikah itu menjadi tidak sah, fasid atau batal.

Mengikut tertib wali, bapa hendaklah menjadi wali bagi semua perkahwinan anaknya.  Dan jika bapa tidak ada krn meninggal dunia maka hak wali berpindah kpd datuk pengantin perempuan itu.

Dan jika datuk juga meninggal dunia maka hak wali itu berpindah kepada saudara lelaki seibu sebapa kpd pengantin perempuan dan begitulah bidang kuasa wali mengikut tertib susunannya.

Tertib susunan wali sepenuhnya ialah

1.  bapa

2.  datuk

3.  saudara lelaki seibu sebapa

4.  anak lelaki drp saudara lelaki seibu sebapa (anak saudara)

5.  anak lelaki drp saudara lelaki sebapa (anak saudara)

6.  saudara lelaki seibu sebapa bagi bapa (bapa saudara)

7.  saudara lelaki sebapa bagi bapa (bapa saudara)

8.  anak lelaki bagi saudara lelaki seibu sebapa bagi bapa (sepupu)

9.  anak lelaki bagi saudara lelaki sebapa bagi bapa (sepupu)

Sekiranya pengantin perempuan langsung tidak mempunyai wali, wali hilang atau ghaib atau jika wali aqrab enggan mewalikan pernikahan tanpa alasan yang dibenarkan oleh syarak, maka dia akan dinikahkan secara wali hakim.

Dlm keadaan wali yg dinyatakan di atas masih hidup dan cukup syarat sbg wali seperti beragama Islam, baligh, berakal, adil dan merdeka, maka melakukan akad pernikahan dgn menyembunyikan wali berkenaan atau melangkaui tertib susunan wali itu boleh menjadikan perkahwinan itu tidak sah.

Malah, jika perkahwinan itu dilangsungkan menggunakan wali abad, yakni wali yang jauh perhubungannya dgn pengantin perempuan mengikut susunan wali sedangkan wali aqrab iaitu wali yg paling dekat hubungannya dgn pengantin perempuan mengikut susunan wali masih ada, maka perkahwinan itu juga boleh jadi tidak sah.


Kredit - Harian Metro
Oleh Musa Awang - Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM)








20121130

++ Cintailah Isteri Kerana ALLAH ++

Isteri, di samping sebagai sandaran emosional, juga sebagai penyangga spiritual. Dialah yang sedia berkongsi tanpa pura-pura. Kurniaan isteri, menurut al-Quran, sama berharganya dengan kejadian dunia dan seisinya (Ar-Ruum: 16-30). Subhanallah!

Seorang suami memperoleh ketenangan dan semangat hidup daripada seorang isteri, juga ketenangan, keberanian, keamanan, dan kekuatan. Lelaki menumpahkan seluruh tenaganya di luar rumah dan mengumpulkannya kembali di dalam rumah. Rumah tidak sekadar tempat berteduh secara fizikal, tetapi tempat berlabuh lahir dan batin. Sumber menu rohani dan jasmani.

Potensi besar yang dikurniakan Allah kepada wanita ialah kelembutan, kesetiaan, cinta, kasih sayang dan ketenangan jiwa. Kekuatan itu sering kali dilukiskan bagaikan ring dermaga tempat suami menambat kapal, atau pohon rendang tempat sang musafir merebahkan diri dan berteduh.

Di dalamnya merupakan padang jiwa yang luas dan nyaman. Tempat menumpahkan sisi keanak-anakan, sifat polos suami untuk bermain dan bermanja; saat suami melepaskan kelemahan-kelemahannya dengan aman; saat suami merasa bukan siapa-siapa; saat suami menjadi 'anak kecil' yang dewasa, yang berjanggut dan berkumis. Di kedalaman tenaga spiritual dan ketajaman emosional.

Umar bin Khattab r.a. pernah berkata, "Jadilah engkau anak kecil di depan isterimu, tetapi berubahlah menjadi lelaki perkasa ketika keadaan memanggilmu."

Sudah tentu setiap lelaki ingin menjadi 'anak kecil yang polos' ketika berbaring dalam pangkuan ibunya dan isterinya.

Sebaik-baik wanita (isteri), kata Nabi Muhammad s.a.w. adalah apabila kamu melihatnya menyenangkanmu. Isteri yang seperti inilah yang dapat menjadi sumber kebahagiaan, keamanan dan penjaga kehormatan diri. Apabila sumber itu hilang atau kering, tragedi cintalah yang akan terjadi.

Hanya saja, kecintaan kepada isteri harus rasional. Tidak sekadar menonjolkan rasa, tetapi cinta terhadap isteri hendaknya diletakkan demi kepentingan agama.

Cintailah isterimu di bawah cinta kepada Allah! Saling mengasihi yang tidak dilandasi agama, suatu ketika bakal menjadi batu sandungan dakwah.

Semoga para suami di luar sana sentiasa mengingati pesan Rasulullah s.a.w. ini, "Janganlah lelaki Mukmin membenci isterinya yang Mukminin. Apabila ada perangai isteri yang tidak disukai, dia pasti reda (senang) dengan perangai isteri yang lain." (Riwayat Muslim)


MIDI - Disember 2012





20121123

++ 4 Tanda Hidup Tidak Berkat ++


Tazkirah Jumaat:

4 Tanda Hidup Tidak Berkat

Banyak sebenarnya tanda-tanda jika kehidupan kita ini tidak mendatangkan keberkatan namun sebahagian tanda-tanda dibawah ini juga jelas membayangkan kehidupan kita ini tidak mendatangkan keberkatanNYA. Nauzubillah.
...

Berikut Tanda-tanda hidup kita tak berkat ialah :

1. Duit banyak, tapi cepat jer habis. Tak tau duit pergi mana. Pendapatan bertambah, tapi asyik tak cukup jer. Duit banyak dihabiskan pada benda yang sia-sia. Patutnya bila duit dapat banyak, sedekah pun kena la bertambah. Tapi tak, kita jadi makin kedekut. Sedekah tak bertambah, duit tetap habis ke tempat lain.


2. Buat kerja, tak siap. Projek ada macam-macam, idea banyak, tapi satu pun tak berjaya. Macam-macam usaha dibuat, macam-macam projek kita cuba nak lakukan, tapi semuanya tergantung. Semuanya tergendala. Satu pun tak berjaya. Kalau ada yang menjadi, tapi tak seperti yang dirancangkan.

3. Buat sesuatu, tak dapat manfaat. Baca buku banyak, tapi ilmu satu pun tak lekat. Nasihat orang pandai, tapi diri pun tunggang langgang.

4. Masa habis dengan sia-sia. Kononnya sibuk, tapi sebenarnya banyak masa dihabiskan dengan perkara yang sia-sia. Leka main fesbuk, leka tengok TV, leka berborak dengan kawan, leka main game, leka melepak dengan kawan-kawan.

Tapi nak luang baca Quran 5 minit sehari pun tak boleh. Solat pun akhir waktu. Solat tak sampai 5 minit.

Zikir langsung tak amal. Malah nak berdoa untuk diri sendiri pun malas.Adakah anda salah seorang yang mengalami atau merasai tanda-tanda di atas? Mari kita sama-sama muhasabah diri.

Tanya pada diri, adakah kita salah seorang daripada orang yang tidak mendapat keberkatan dari Allah.

Aduh, alangkah malang dan rugi nya kalau kita gagal mendapat keberkatan dalam hidup ini. Kerana kita bukan saja akan rugi di dunia ini, malah akan bangkrap di akhirat nanti. Nauzubillah.

Sama-sama kita taubat dan mohon taufik hidayah daripada Allah SWT untuk memperbaiki iman dan amal kita masing-masing.


Sama-sama muhasabah dan siri ingatan diri sendiri juga.
JazakAllah Khayr ( جزاك اللهُ خيراً)



Email yg diterima dari seorang teman. Peringatan yg tersangat diperlukan di saat-saat akk adalah dlm keadaan agak 'down' minggu nie.... Syukran, masih ada yg mahu berkongsi dlm memperbaiki diri ini..... Alhamdulillah....



20121109

++ Orang Ikhlas Itu Tertindas? ++


Jika kita memberi kebaikan kepada seseorang, kebaikan itu akan dibalas walaupun yang membalasnya bukan orang yang kita berikan kebaikan itu. Hakikat ini mengingatkan saya kepada satu perbualan yang berlaku sewaktu saya mengendalikan program latihan beberapa tahun lalu di sebuah organisasi. 

“Saya tidak mempunyai apa-apa harapan lagi pada organisasi ini,” kata seorang kakak berterus-terang.


“Mengapa?” balas saya.

“Organisasi ini dipenuhi oleh kaki bodek dan kaki ampu. Saya terseksa bekerja secara ikhlas di sini. Tidak pernah dihargai, tidak ada ganjaran yang wajar. Saya bukannya orang yang bermuka-muka. Tak pandai saya nak ampu-ampu orang atas, Fokus saya kepada kerja sahaja.” 


Kakak itu sebenarnya adalah peserta program yang paling senior. Telah berpuluh tahun bekerja dalam organisasi tersebut. Itu adalah kali terakhir dia mengikuti program latihan. Enam bulan lagi dia akan bersara. Kesempatan yang diberikan kepadanya dalam sesi memperkenalkan diri itu telah digunakannya sepenuhnya untuk meluahkan rasa kecewa dan marahnya sepanjang berkhidmat di situ. Sungguh, dia kecewa sekali. Siapa tidak marah, jika bekerja secara ikhlas dan gigih tetapi tidak pernah dinaikkan pangkat atau mendapat kenaikan gaji? 

Sewaktu rehat, sambil minum-minum dan berbual santai saya bertanya kepadanya, “kakak punya berapa orang anak?”


Sengaja saya bertanya soal-soal “di luar kotak” agar ketegangan dalam sesi sebelumnya dapat diredakan.


“Oh ramai encik…”

“Bagaimana dengan anak-anak kakak?”

Wah, saya lihat dia begitu ceria apabila mula menceritakan tentang anak-anaknya. Boleh dikatakan semua anak-anaknya berjaya dalam profesion masing-masing. Ada yang menjadi doktor, jurutera, pensyarah dan sebagainya. Malah seorang anaknya telah menjadi hafiz.


“Kakak, boleh saya bertanya?”

“Tanyalah encik…” ujar kakak itu sambil tersenyum. Mendung di wajahnya sudah berlalu. Dia begitu teruja bila bercerita tentang anak-anaknya. Memang, semua anak-anaknya menjadi. 

“Jika kakak diberi pilihan, antara anak-anak yang “menjadi” dengan naik gaji, mana yang kakak pilih?”


Belum sempat dia menjawab, saya bertanya lagi, “antara kakak naik pangkat dengan anak-anak berjaya dalam karier mereka, mana yang kakak pilih?”

Dengan cepat kakak itu menjawab, “hati ibu encik… tentulah saya pilih anak-anak saya menjadi walaupun tidak naik gaji atau dapat pangkat. Anak-anak adalah harta kita yang paling berharga!” 

Saya tersenyum. Hati ibu, begitulah semestinya.


“Kakak, sebenarnya keikhlasan dan kegigihan kakak bekerja dalam organisasi ini telah mendapat ganjaran…” kata saya perlahan. Hampir berbisik.


“Maksud encik?”

“Allah telah membalas dengan ganjaran yang lebih baik dan lebih kakak lebih sukai. Bila kakak ikhlas bekerja dalam organisasi ini, Allah berikan kepada kakak anak-anak yang menjadi.”

“Tidak pernah saya terfikir begitu encik…”


“Allah Maha Berkuasa. Ada kalanya takdir dan perbuatan-Nya terlalu misteri dan rahsia untuk dijangkau oleh pemikiran kita. Tetapi yakinlah what you give, you get back. Itu hukum sunatullah dalam hubungan sesama manusia. Kebaikan yang kita buat akan kembali kepada kita. Yakinlah.”

“Walaupun bukan daripada seseorang atau sesuatu pihak yang kita berikan kebaikan itu?”


“Maksud kakak?”

“Macam ni, saya buat kebaikan kepada organisasi tempat saya bekerja, tapi Allah berikan kebaikan kepada keluarga. Pembalasan Allah bukan di tempat saya bekerja, sebaliknya diberikan dalam keluarga saya. Begitukah encik?”


“Itulah yang saya katakan tadi, takdir Allah kekadang terlalu misteri. Tetapi ketetapannya mutlak dan muktamad, siapa yang memberi kebaikan akan dibalas dengan kebaikan. Dalam istilah biasa itu dipanggil golden rule!” 

Kakak itu termenung. Mungkin memikirkan pertalian dan kaitan antara apa yang berlaku dalam organisasi dengan familinya.


“Metafora atau analoginya begini. Katalah kita sedang memandu di satu jalan yang mempunyai dua atau tiga lorong. Penuh sesak. Tiba-tiba sebuah kereta yang tersalah lorong di sebelah memberi isyarat untuk masuk ke lorong kita. Kerana simpati melihat dia terkial-kial memberi isyarat, kita pun beralah, lalu memberi laluan untuk kereta itu masuk di hadapan kita…” 

Saya berhenti seketika mengambil nafas sambil mencari reaksi. Saya lihat kakak itu mendengar penuh minat. Dia meneliti metafora yang saya sampaikan dengan begitu teliti.


“Kemudian kita terus memandu ke hadapan. Mungkin sejam kemudian atau setelah berpuluh-puluh kilometer, tiba-tiba kita pula yang tersalah lorong. Kita pula yang memberi lampu isyarat untuk masuk ke lorong sebelah. Soalnya logikkah kalau kita mengharapkan kereta yang kita bantu sebelumnya memberi laluan untuk kita?” 

Kakak itu tersenyum dan berkata, “tak logik encik. Kereta yang kita bantu tadi entah ke mana perginya.”


“Tapi ada tak kereta lain yang simpati dan memberi laluan untuk kita?’

“Pasti ada! Insya-Allah.”

“Ya, begitulah. Padahal kereta itu tidak pernah sekali pun kita tolong. Tetapi Allahlah yang menggerakkan hati pemandunya untuk memberi laluan kepada kita. Orang yang kita beri kebaikan, tidak ada di situ untuk membalas kebaikan kita… Tetapi Allah menggerakkan hati orang lain, yang tidak pernah merasa kebaikan kita untuk membalas kebaikan kita tadi.” 

“Subhanallah!”


“Begitu dalam litar di jalan raya dan begitu jualah litar dalam kehidupan manusia. Kita buat baik kepada A, tetapi kerap kali bukan A yang membalas kebaikan kita tetapi B atau C atau D atau lain-lainnya yang membalasnya. Inilah hakikat yang berlaku dalam kehidupan ini.”

“Kita tidak boleh kecewa bila keikhlasan kita dipersiakan?” tanya kakak itu lagi. Lebih kepada satu respons minta diiyakan. 


“Kakak, ikhlas sebenar tidak pinta dibalas. Tetapi Allah Maha Kaya dan Maha Pengasih, siapa yang ikhlas akan diberi ganjaran walaupun mereka tidak memintanya kerana setiap kebaikan itu akan dikembalikan kepada orang yang melakukannya. Ia umpama bola yang dibaling ke dinding, akan melantun semula kepada pembalingnya!”


“Selalunya saya dengar, orang ikhlas akan dibalas di akhirat.”

“Itulah balasan yang lebih baik dan kekal. Tetapi saya katakan tadi, Allah Maha kaya, Allah mahu dan mampu membalas keikhlasan hamba-Nya di dunia lagi.” 


“Maksud encik?”

Orang yang ikhlas akan diberi ketenangan dan kebahagiaan dalam hidup. Anak-anak yang soleh dan solehah. Isteri yang taat atau suami yang setia. Dan paling penting… hati yang sejahtera. Inilah kekayaan dan kelebihan yang lebih utama daripada pangkat, gaji dan jawatan.”

“Jadi orang ikhlas akan terus ditindas, tidak dapat kenaikan pangkat atau gaji? Bukan apa, saya terfikir kenapa nasib kaki ampu dan kaki bodek lebih baik dalam organisasi. Mereka dapat naik pangkat!” 

Giliran saya pula tersenyum.


“Tidak ada kebaikan yang akan kita dapat melalui jalan yang salah. Percayalah, kalau benar mereka kaki ampu dan bodek sahaja… pangkat yang mereka dapat akan menyebabkan mereka melarat. Gaji naik, tetapi ketenangan hati menurun. Ingat apa yang saya kata tadi, what you give you get back… Golden rule itu bukan untuk kebaikan sahaja, tetapi untuk kejahatan juga. Kalau kita berikan kejahatan, kejahatan itu akan kembali semula kepada kita. Kaki ampu, mungkin akan dapat anak yang pandai bermuka-muka. Kaki bodek mungkin dibalas dengan isteri yang berpura-pura!” terang saya panjang lebar. 

“Jadi apa yang harus saya lakukan dengan baki masa perkhidmatan yang tinggal tidak beberapa bulan lagi ni?”


“Bekerjalah dengan gigih. Walaupun mungkin bos tidak melihatnya, tetapi Allah Maha Melihat. Bekerja itu satu ibadah. God is our “ceo”, kata orang sekarang. Insya-Allah, satu hari nanti manusia juga akan diperlihatkan oleh Allah tentang keikhlasan manusia yang lain. Jangan berhenti memberi kebaikan hanya kerana tidak dapat penghargaan…”

“Maksud encik?”


“Jangan mengharap terima kasih daripada manusia atas kebaikan yang kita buat kepadanya.”


“Kenapa?”

“Kita akan sakit jiwa!”

“Kenapa?”

“Kerana umumnya manusia tidak pandai berterima kasih. Lihatlah, kalau kepada Allah yang Maha Memberi pun manusia tidak pandai bersyukur dan berterima kasih, apalagi kepada manusia yang pemberiannya terbatas dan berkala. Sedikit sekali daripada manusia yang bersyukur,” balas saya mengulangi apa yang maktub dalam Al Quran. 

“Tetapi
Allah tidak berhenti memberi… “ kata kakak itu perlahan.


“Walaupun manusia tidak berterima kasih kepada-Nya. Sekalipun kepada yang derhaka dan kafir, tetapi Allah terus memberi… Justeru siapa kita yang tergamak berhenti memberi hanya kerana tidak mendapat penghargaan dan ucapan terima kasih?”


“Ah, kita terlalu ego…”

Dan itulah kesimpulan perbualan yang saya kira sangat bermakna dan besar impaknya dalam hidup saya. Saya terasa “diperingatkan” semasa memberi peringatan kerana pada hakikatnya saya juga tidak terlepas daripada lintasan hati oleh satu pertanyaan… orang ikhlas tertindas? 



Email yg saya terima dari rakan utk renungan kita bersama. Peringatan utk diri saya terutamanya.... Ikhlas lah dlm segalanya.... Ya ALLAH, kau permudahkan lah segala urusan ku di dunia dan di akhirat. Jauhi aku dari segala hasad dengki manusia.... AMINNNN.....





20110507

++ Jari Jemari Tangan ++

Apabila kita mengkaji struktur anatomi tangan, kita akan dapati ia sebenarnya satu struktur yang sangat kompleks, berliku-liku dan juga sangat menarik.

Meskipun tangan merupakan sebahagian struktur tubuh yang agak kecil, namun ia sebenarnya dibentuk oleh 27 tulang daripada pergelangan tangan sehingga ke hujung jari.

Ia di kategorikan sebagai tulang karpal yang membentuk pergelangan tangan, metakarpal yang membentuk tangan dan tulang falanks (tulang ruas jari) yang membentuk jari jemari.

Setiap jari mempunyai tiga tulang falanks melainkan ibu jari yang mempunyai dua tulang falanks sahaja. Ia dibahagikan kepada tiga barisan iaitu barisan pertama (proximal phalanx), barisan pertengahan (middle phalanx) dan barisan hujung (distal phalanx). Setiap barisan disambung oleh sendi-sendi kecil yang begitu kompleks dan unik.

Setiap sendi disokong oleh ligamen-ligamen untuk memastikan kestabilannya dalam melakukan kerja. Menariknya, tiada struktur lain di dalam badan kita yang mana tulang-tulang kecil disambung dan dibenarkan bergerak bebas ke hadapan dan ke belakang, ke kiri dan ke kanan. Ia hanya terdapat pada jari jemari sahaja.

Antara nikmat Allah s.w.t. yang begitu besar kepada kita adalah tangan.

Setiap tangan lazimnya mempunyai lima jari dan ia memiliki fungsi yang tidak terkira banyaknya. Dengan jari inilah kita mengambil dan meletakkan sesuatu barang, menggenggam, memukul, membuat kerja, menulis, menggunakan komputer dan sebagainya.

Jari jemari yang Allah s.w.t. kurniakan kepada kita sebenarnya boleh mempengaruhi destinasi kita di akhirat kelak, samada syurga atau neraka.

Dengan jari jemari kita melakukan kebaikan dan ibadah kepada Allah s.w.t. Kita menghitung kalimah zikir dengan jari. Kita meluruskan jari telunjuk ketika solat apabila mengucapkan kalimah syahadah. Kita bersedekah dengan menghulurkan wang menggunakan jari (tangan).

Dan dengan jari jemari juga kita melakukan dosa. Menulis fitnah dan sesuatu yang tidak berasas di blog atau di website. Penjenayah menarik picu pistol untuk mencederakan orang juga menggunakan jari jemari.

Antara keajaiban jari jemari adalah terletak pada ibu jarinya. Setiap manusia di dunia ini walau kembar sekalipun, mempunyai pola cap jari yang berlainan. Ianya akan kekal dan tidak berubah melainkan terdapat kecederaan yang mengakibatkan parut kekal pada ibu jari. Kajian menyatakan bahawa cap jari mulai terbentuk sejak kita berusia tiga bulan di dalam kandungan lagi!

Alangkah indah dan unik nya ciptaan Allah s.w.t. ini. Sesungguhnya jari jemari yang sangat kompleks mampu disusun cipta oleh Allah s.w.t. dan disusun kembali di hari akhirat kelak, apatah lagi struktur lain yang besar dan tidak kompleks.

Wallahu’alam…..




- Solusi






20110501

++ Apabila Si Dia Tidak Mencintai Lagi ++

Apatah lagi dalam konteks hubungan suami isteri.

Sesetengah dari kita akan hilang kewarasan berfikir, hilang semangat juang.  Malah ada juga yang sakit jiwa – hidup dalam kemurungan dalam “neraka” buatan sendiri.


Terseksa Kerana Memiliki dan Dimiliki

Kita rasa terseksa kerana kita rasa kita memiliki si dia.  Kita harus tanamkan dalam diri kita bahawa kita hanyalah peminjam, kita tidak pernah memiliki apa-apa di dunia ini.  Segalanya hanya pinjaman dari Allah s.w.t., Dia yang memiliki segalanya….

Bila kita rasa kita dimiliki, kita akan terdorong untuk melakukan segala-galanya untuk si dia.  Jadi bila si dia telah tiada, kita akan terasa kosong.  Tanpanya dunia kita gelap, tiada mentari lagi.

Tanamkan saja dalam diri kita, kita adalah milik-Nya dan kita memiliki-Nya.  Allah itu satu, dia kekal, sudah pasti kita tidak akan kehilangan-Nya sampai bila-bila pun…


Cintai Seadanya

Orang yang kita akan paling benci adalah orang yang pernah kita sayangi dengan sepenuh hati kita.  Hingga wujudnya permusuhan dan dendam di hati kita lantas akan mengakibatkan sesuatu yang tidak terduga dan di luar jangkauan dan batasan.

Bagi yang belum pernah bercinta, ingatlah pesan ini….

“Cintailah seseorang itu seadanya, kerana suatu hari nanti dia mungkin akan menjadi orang yang kita paling benci.  Dan bencilah seseorang itu sekadarnya, kerana suatu hari nanti dia mungkin akan menjadi orang yang kita sayangi sedalamnya”


Kita Tetap Ada ALLAH

Sesuatu yang kita cintai belum tentu membawa kebaikan kepada kita.  Dan sesuatu yang kita benci belum tentu memudaratkan kita.

Percayakah kita kalau dahulu jika diberitahu bahawa sutera yang lembut dan indah itu berasal dari seekor ulat?

Yakinlah bahawa pandangan kita amat terbatas tetapi pandangan Allah s.w.t. adalah amat luas tanpa jangkauan.


Kecewa Jangan Panjang

Memang kita kecewa jika si dia tidak mencintai kita dan tidak lagi bersama dengan kita, kan? 

Pujuklah hati kita dengan mengatakan bahawa dia bukan yang terbaik untuk kita.   Mungkin dia terbaik untuk orang lain.  Yang terbaik untuk kita mungkin belum ditemukan, dan jika sudah ketemu pastinya kita tidak akan terjangka bagaimana dan dimana.


ALLAH Tidak Pernah Mengecewakan

Kita sepatutnya sedar bahawa jika kita tidak disayangi lagi oleh si dia, sesungguhnya kita adalah yang terpilih, bukan yang tersisih.

Terpilih kerana kita kembali mendekatkan diri kepada Allah s.w.t. Pencipta kita.  Kecintaan kita kepada Allah s.w.t. pasti akan terbalas tanpa ada paksaan.



- Solusi #30






20110426

++ Jimak Itu Ibadah? ++

Rasulullah s.a.w. pernah bersabda “Pada alat kelamin (kemaluan) kamu terdapatnya sedekah.



Para sahabat bertanya, “Hai Rasulullah, apakah apabila syahwat salah seorang kami naik, dia akan mendapat pahala?

Rasulullah menjawab, “Ya. Bukankah jika ia berbuat padanya yang haram, dia akan berdosa? Begitu jugalah jika dia berbuat padanya yang halal, nescaya dia akan mendapat pahala. Kenapa kamu mengira kejahatan sahaja, sedangkan kebaikan kamu tidak kira?” – Riwayat Muslim

Begitu sekali Islam membimbing manusia agar mempunyai sikap yang benar terhadap hubungan seks atau jimak yang memainkan peranan yang amat penting dalam keharmonian rumah tangga.

Dengan pengharaman zina yang merupakan dosa besar, Islam meletakkan jimak pada satu kedudukan yang terhormat dan selayaknya, bukan sekadar perlakuan hina yang menindas mana-mana pihak yang terbabit.

Dalam Islam, perkongsian hidup antara seorang lelaki dan wanita yang telah diperakukan oleh masyarakat sekeliling melalui kontrak sosial yang dinamakan pernikahan khususnya untuk mematuhi perintah dan saranan Allah s.w.t. dan Rasul-Nya, menjadikan hubungan seks yang sebelum itu haram menjadi halal dan istimewa sebagai satu perilaku sosial yang terhormat.

Hubungan seks atau jimak suami isteri dengan objektif dan matlamat yang sama iaitu untuk mencari keredhaan Allah s.w.t. semata-mata.

Sesungguhnya jimak itu harus dilakukan dan dimulakan dengan penuh rasa tanggungjawab. Tanggungjawab dengan apa yang bakal terjadi atau hasilnya kelak.

Ajaran serta panduan Islam dalam aspek hubungan seks suami isteri membuktikan betapa pentingnya pasangan Muslim menimba ilmu dan mendapatkan maklumat yang jelas lagi tepat berhubung dengan perkara ini, demi kesejahteraan dan kerukunan rumah tangga yang dibina.







20110412

++ Amalan Berkabung ++

KUALA LUMPUR, 11 April – Bekas mufti Perlis Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin berkata amalan berkabung selama 40 hari sempena kematian pemimpin negara atau kerabat diraja yang diamalkan selama ini bercanggah dengan ajaran Islam.


Kata Mohd Asri (gambar), dalam ajaran Islam yang diwajibkan berkabung hanyalah isteri kematian suami iaitu selama empat bulan 10 hari dan bukan berkabung secara “berlebihan” sempena kematian pemimpin negara atau kerabat diraja.

“Perkara ini perlu diingatkan, ia (berkabung) bukan sahaja berlaku di Malaysia, tetapi banyak negara lain yang ‘berlebihan’ dalam memuja pemimpin-pemimpin mereka.

“Amalan berkabung selama 40 hari dengan pelbagai pantang larang atau pakaian tertentu sempena kematian pemimpin negara atau kerabat diraja adalah bercanggah dengan ajaran Islam,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dengan merujuk al-Quran dan Sunah, Asri berkata amalan berkabung selama 40 hari itu juga bercanggah dengan arahan Rasulullah s.a.w.

“Dalam ajaran Islam, yang diwajibkan berkabung hanyalah isteri kematian suami iaitu selama empat bulan 10 hari, ini telah ditegaskan oleh al-Quran dan al-Sunah.

“Dalam Surah al-Baqarah ayat 234: (maksudnya) “Dan mereka yang meninggal dunia antara kamu dengan meninggalkan isteri-isteri, hendaklah mereka menangguh (menunggu idah) selama empat bulan, sepuluh hari,” kata pensyarah Universiti Sains Malaysia ini.

“Dalam hadis Nabi s.a.w bersabda: ‘Tidak halal bagi seorang wanita yang beriman kepada Allah dan hari akhirat untuk berkabung atas kematian melebihi tiga hari, kecuali atas kematian suaminya iaitu empat bulan sepuluh hari’ (Riwayat al-Bukhari dan Muslim),” kata tokoh agama berpendirian progresif ini.

Tegas beliau, umat Islam tidak berkabung atas kematian seseorang termasuk pemimpin atau kerabat diraja.

Justeru Asri menegaskan, amalan berkabung sempena kematian pemimpin negara atau kerabat diraja bukan dari ajaran Islam.

“Maka amalan berkabung sempena kematian pemimpin atau kerabat istana bukanlah dari ajaran Islam, bahkan menyanggahi apa yang ditegaskan oleh Rasulullah s.a.w.

“Mereka yang meninggal pada hari ini tidak lebih mulia dari insan-insan soleh bermula Rasulullah s.a.w dan selepas baginda. Jika kematian mereka pun umat tidak berkabung kerana mematuhi arahan Rasulullah s.a.w, apakah kita merasai pemimpin dan kerabat diraja yang meninggal pada zaman ini lebih mulia dari mereka? Sama sekali tidak. Kepada Allah kembali segala urusan,” katanya.

Amalan berkabung biasanya dipatuhi apabila berlaku kematian raja dan sultan ataupun anggota kerabat terdekat.



The Malaysian Insider – Mon, Apr 11, 2011




20110318

++ Hikmah Rotan dan Rejam Untuk Penzina ++

Allah berfirman dalam surah An-Nur ayat 2 yg bermaksud, "Perempuan yang berzina dan lelaki yang berzina hendaklah kamu dera masing-masing dengan 100 rotan dan janganlah kamu berasa kasihan belas terhadap kedua-duanya dalam melaksanakan perintah Allah jika kamu beriman kepada Allah dan pada hari kemudian. Hendaklah hadir ketika dijatuhkan hukuman terhadap mereka sekumpulan di kalangan orang-orang yang beriman."

Penegasan hukuman ini ditegaskan lagi oleh Nabi Muhammad s.a.w. dalam hadisnya yg bermaksud, "Ambillah olehmu (peraturan) daripada aku, ambillah daripada aku. Sesungguhnya Allah telah memberikan jalan untuk mereka, iaitu perawan dan jejaka. Hukumannya dirotan sebanyak 100 kali dan dibuang daerah selama setahun. Janda dan duda, hukumannya dirotan sebanyak 100 kali serta direjam." - Riwayat Abu Muslim dan Daud.

Para ulama menggariskan bhw hukuman sebatan 100 kali utk yg belum berkahwin adalah wajar sbg pengajaran kpd mrk yg ingin mencubanya krn mrk belum pernah merasai nikmat perkahwinan.

Bagi yg telah berkahwin, hukuman rejam adalah wajar krn mrk telah merasai nikmat perkahwinan. Tambahan pula, mrk sudah mempunyai pasangan dan anak dlm sebuah rumahtangga.

Kenapa rotan? Zalimkah? Mari kita lihat dari segi sains pula......

Di dalam badan manusia terdapat satu sistem pertahanan badan yg dipanggil sistem imuniti. Sel yg paling berperanan dlm penghasilan sistem pertahanan badan ini adalah sel darah putih. Ia adalah B Limfosit yg turut menghasilkan imuniti pembaikan sel iaitu Cell-Mediated Immune System.

Apabila virus HIV menyerang manusia, sistem pertahanan badan T4 Limfosit akan dimusnahkan oleh virus HIV tersebut dgn melekatkan dirinya di permukaan sel darah putih dan menggagalkan fungsi sistem tersebut. Akibatnya, kelumpuhan sistem pertahanan seluruh badan akan berlaku yg dipanggil Acquired Immunologic Deficiency Syndrome @ AIDS.

Jika sekiranya penzina itu belum berkahwin dan dijangkiti HIV selepas penzinaannya, T4 Limfosit nya akan diserang HIV lalu menyebabkan sel-sel T4 tersebut musnah dan mematikan sel sumsum tulangnya. Ini menyebabkan sel T4 baru tidak dapat dihasilkan dgn jumlah yg byk krn sebahagian drp sel darah putih itu akan bertukar menjadi benih manusia (air mani). Maka, badan menjadi lemah dan AIDS akan menyerang, ttp pesakit ini boleh disembuhkan.

Caranya ialah dgn rotan di bahagian belakang badan antara tengkuk dan atas pinggang. Dgn itu, penghasilan sel-sel T4 akan terjadi sebanyak 2-5 kali ganda jumlahnya berbanding jumlah AIDS tersebut.

Ttp bagi yg telah berkahwin, sel T4 ini telah lemah dan mudah dijangkiti HIV. Kelemahan ini terjadi krn kehakisan sumsum tulang dan kurang menghasilkan antibodi krn tertumpu kpd penghasilan benih utk sperma yg baru.

Oleh krn itu, hukuman rejam sampai mati adalah penyelesaian terbaik utk mengelakkan jangkitan AIDS. Akhirnya, rumahtangga akan terselamat dari jangkitan AIDS.

Aneh dan janggal bukan? Tetapi ini adalah salah satu kelebihan hukuman yg diberikan Allah swt. Lihatlah ia dari segi positif yg membawa kebaikan bersama samada dari sudut agama mahupun sains.

Kredit: Majalah Al-Islam

Note: Jika penzina belum berkahwin, ttp mengamalkan seks bebas bermakna dia juga perlu di hukum rejam sampai mati. Walaupun dia belum berkahwin, ttp kekerapan menghasilkan sperma akan melemahkan sistem pertahanan badan....




++ Mencari 5 Perkara? ++

1) Wajah yang cantik – solat subuh

2) Duit yang banyak – solat zohor

3) Kesihatan yang baik – solat asar

4) Anak2 yg cerdik dan berjaya macam kita – solat maghrib

5) Tidur yang nyenyak tanpa ganguan – solat isyak

Hanya 15 minit setiap hari .

Sabda Nabi Muhammad S.A.W; siapa yang tinggalkan solat subuh tiadalah padanya nur di wajahnya dan siapa yang tinggalkan solat zohor tiadalah padanya rezki yang berkat dan barang siapa yang tinggalkan solat asar tiadalah padanya kekuatan badan dan siapa yang tinggalkan solat maghrib tiadalah padanya anak2 yg bermanfaat dan barangsiapa yang tinggalkan solat isyak tiadalah padanya tidur yang nyenyak .





20110316

++ Arak Punca Pelbagai Maksiat ++

Alangkah besarnya kecelakaan yang dibawa oleh arak sehingga Rasulullah s.a.w. telah melaknat 10 golongan manusia yang terlibat dengannya. Baginda terkenal dengan sifat lembut dan pemaaf, tetapi sangat tegas berkenaan tegahan terlibat dengan ibu segala maksiat ini.

Anas r.a. berkata. "Sesungguhnya Rasulullah s.a.w. telah melaknat 10 orang yang berkaitan dengan arak; pembuatnya, pengedarnya, peminumnya, pembawanya, pengirimnya, penuangnya, penjualnya, pemakan wang hasilnya, pembayarnya dan pemesannya." - Riwayat Al-Tirmizi no.1295, Abu Daud no.3674, Ibn Majah no.3381 dan Ahmad no.316.

Dikatakan sebagai punca pelbagai maksiat krn diceritakan bhw pd zaman sebelum kebangkitan Rasulullah s.a.w., seorang pemuda yg terkenal kuat ibadatnya telah difitnah oleh seorang perempuan pelacur yg jatuh hati kepadanya.

Perempuan itu tadi menggunakan helah menyuruh pembantunya menjemput pemuda itu datang ke rumah, kononnya atas suatu hajat yg penting.

Apabila pemuda itu sampai ke rumah perempuan itu, lantas pintu rumah dikunci oleh perempuan itu. "Aku beri kamu tiga pilihan; berzina denganku, bunuh bayi ini atau minum arak ini. Sekiranya kamu enggan, aku akan menjerit dan memberitahu orang ramai bahawa kamu telah memperkosaku dan bayi ini ialah anakmu."

Pemuda itu memilih untuk minum arak krn baginya ia adalah dosa yg paling ringan dan tidak melibatkan orang lain, hanya dirinya dgn Allah. Dia hanya perlu bertaubat shj selepas itu....

Akhirnya dia meminum arak itu sehingga mabuk. Dan ketika mabuk, dia berzina dgn pelacur itu dan di luar kewarasan fikirannya, dia membunuh bayi itu.

Demikianlah betapa hebatnya pengaruh negatif arak kepada manusia. Ia bukan sahaja menyebabkan masalah kesihatan, ttp juga mendorong kpd maksiat dan dosa yg lebih besar.
Kredit: Majalah Solusi

20110313

++ Berjihad: Medan Perang atau Medan Ilmu | Mana Lebih Penting? ++

Saya tertarik dgn satu artikel oleh Prof. Dr. Sidek Baba dlm majalah Solusi.

Beliau ketika itu adalah Timbalan Rektor Hal Ehwal Pelajar dan Disiplin di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM). Kejadian berlaku pd tahun 2001.

Ketika itu di Chechnya sdg berlaku pertentangan hebat dgn tentera Russia. Beliau didatangi seorang pelajar Chechnya, Amir, yg meminta izin utk pulang ke negaranya dgn kadar segera.

"Saya ingin balik berjuang dan syahid di sana" katanya dgn azam yg sgt tinggi. Malah tiket juga telah ditempah.

"Tidakkah kamu di sini juga berjuang dan melakukan jihad ilmu?" ujar Prof.

"Bagi saya jihad memperjuangkan tanah air lebih utama"

"Pada zaman Rasulullah ada yg berjuang di medan perang, ada juga yg berjuang di medan ilmu"

"Tetapi saya amat diperlukan di barisan hadapan"

"Katakanlah negara Chechnya dapat dibebaskan satu hari nanti dari cengkaman Russia, tidakkah waktu itu Chechnya memerlukan tenaga fikir dan ilmuwan utk membangunkan negaranya? Tidakkah jihad ilmu juga dituntut? Lantaran Amir sudah ada disini, teruskan saja jihad ilmu disini. Ia juga sesuatu yg mulia."

"Itu akan dilakukan oleh orang lain. Yang ingin kembali hanya saya seorang shj."

"Apakah jika kamu kembali ke sana akan membantu?"

"InsyaALLAH boleh membantu"

"Mengapa saudara katakan begitu?"

"Saya adalah komander satu batalion tentera Chechnya. Pasukan di sana sedang menunggu kepulangan saya utk menerima arahan selanjutnya."

"Tidakkah peranan komander itu boleh diambil oleh orang lain di Chechnya? Tentu saudara tahu sewaktu saudara datang ke Malaysia dulu, negara saudara sedang bergolak. Saudara memilih utk belajar juga suatu jihad. Rakan2 saudara disana memilih jihad di medan perang ttp saudara memilih jihad di medan ilmu."

"Itu benar. Kena ada persiapan di medan perang dan di medan ilmu. Tapi panggilan ibu pertiwi lebih kuat lagi. Saya akan mengkhianati negara sekiranya saya tidak kembali ke Chechnya segera."

"Pada saya kedua-duanya sama berat. Oleh krn saudara sudah berada di Malaysia, mengapa tidak fokuskan jihad itu utk menguasai ilmu sebanyak mungkin? Dan apabila saudara kembali ke Chechnya nnt, saudara mempunyai kekuatan utk melakukan perubahan. Perubahan masa depan memerlukan ilmu. Tanpa ilmu, perubahan tidak akan berlaku."

"Itu benar. Antara kedua-duanya mesti ada keutamaan. Keutamaan saya sekarang adalah utk kembali ke Chechnya. Sekiranya Chechnya dpt kami bebaskan drp belenggu musuh, jika umur panjang saya akan belajar lagi. Ilmu ada dimana-mana" tegas dan dalam fokus Amir.

Oleh krn kecekalan dan semangatnya amat tinggi, maka Prof. mengizinkan Amir utk kembali ke Chechnya berjuang demi negaranya.

Sambil berpelukan, Amir berbisik "Tolong doakan saya, tolong doakan saya..." berulang kali.

Prof melepaskannya dgn perasaan sayu seraya tertanya-tanya samada itu perjumpaan terakhir antara mrk berdua....

Allah Maha Mengetahui, Allah Maha Besar... sebulan selepas pertemuan itu, Prof dikhabarkan bhw Amir telah syahid sewaktu pertempuran dgn tentera Russia.


Note: Agak2 nya dapatkah kita belia spt Amir yg sanggup syahid demi negaranya yg tercinta walaupun beliau telah dpt hidup dgn aman dan selesa di negara lain? Lihatlah betapa ramainya belia2 kita sekarang ini yg lalai dek krn pengaruh sosial yg tidak pernah surut menghantui....







20110312

Cintailah kekasihmu sekadarnya, siapa tahu ia akan menjadi musuhmu suatu hari nanti.

DAN

Bencilah musuhmu sekadarnya, siapa tahu ia akan menjadi kekasihmu suatu hari nanti.

- Sayyidina Ali bin Abi Talib.







++ Islam Itu Indah: Bolehkah Roh Kembali Dan.. ++

Kredit: http://www.islamituindah.my

Soalan: Ustaz, suami saya telah kembali ke rahmatullah kira-kira tiga bulan yang lalu. Bagaimanapun sejak akhir-akhir ini ada sesuatu yang pelik berlaku pada diri saya, iaitu pada setiap malam arwah mendatangi dan bergaul dengan saya. Kemusykilan saya ;

i) Bolehkah suami yang telah kembali ke rahmatullah, mendatangi semula dan bergaul, sepertimana mereka hidup pada malam-malam hari sebelum kematiannya?

ii) Bolehkah ruh suami saya menziarahi anggota keluarganya, menziarahi rumah atau kampung halamannya?

iii) Apakah benar ruh orang yang sudah meninggal, boleh balik memasuki tubuh anggota keluarganya, seolah-olahnya boleh berinteraksi dengan orang hidup.

Hamimah Abdullah
Banting, Selangor.

Jawapan:

Puan,

Menjawab soalan pertama, di sini ada dua episod daripada soalan ini, pertamanya, mendatangi isteri setelah suaminya meninggal iaitu ‘tidur bersama’, mungkin berlaku sebagai suatu mimpi indah atau keduanya, benar-benar berlaku dalam keadaan sedar dan yakin bahawa itu adalah suaminya yang terdahulu.

Kalau berlaku itu atas nama mimpi, memanglah ia sesuatu yang mungkin, lebih-lebih lagi berlaku kepada isteri yang amat menyayangi suaminya yang telah pergi menemui Allah lebih dahulu daripadanya.

Adapun mendatangi isteri dalam maksud ia benar-benar sedar dan yakin bahawa itu adalah suaminya maka ini adalah tidak mungkin dan tidak boleh berlaku kerana orang yang telah meninggal telah berpindah ke alam baqa’ – alamul khulud – yang bermula daripada kubur.

Hadis Nabi s.a.w menyebut (yang bermaksud),”Alam kubur itu adalah suatu tempat tinggal sementara, tempat berhenti daripada tempat-tempat yang akan dilalui, menuju ke alam Akhirat, alam kubur adalah sebahagian daripada alam barzakh, maka yang telah dimasukkan ke alam kubur akan berada di dalamnya sehingga hari Kiamat yang tidak mungkin boleh kembali ke alam dunia.”

Adapun yang berlaku setelah yang didakwa oleh banyak orang, khasnya kepada saya, puan mesti yakin bahawa itu bukanlah suami yang sebenar.

Kalaupun berlaku sungguh, ia akan berlaku, tetapi bukan daripada suami. Tetapi ia dilakukan oleh makhluk lain yang bernama Qareen. Qareen ini memang wujud, dalam al-Qurannul Karim, terdapat istilah Qareen ini sebanyak 12 kali. Misalnya kita merujuk kepada Surah as-Shaffaat, ayat 51 yang bermaksud, salah seorang daripada yang telah meninggal yang menghadapi balasan Allah S.W.T, mengakui dengan mengatakan bahawasanya, adalah pada diri saya dahulunya ada Qareen.

Qareen dalam tafsir seperti al-Qurtubi dan al-Maraghi, disebut sebagai kawan atau teman yang begitu rapat. Ertinya, insan yang menjadikan Qareen sebagai teman rapatnya maka dia telah mendapat sejahat-jahat teman. Qareen adalah satu jenis daripada jenis-jenis Jin ataupun Syaitan.

Pada umumnya, apabila manusia bersahabat dengan syaitan serta meminta tolong daripadanya dan berbagai-bagai lagi, maka jadilah dia Qareen. Oleh itu, selepas daripada kematian manusia, Qareen ini akan melakukan berbagai-bagai perkara yang tidak baik termasuklah dia boleh menganggu keluarga si mati dan mendatangi isterinya sebagaimana rupa suami terdahulu.

Oleh sebab itu puan tidak seharusnya mempercayai bahawa ‘dia’ adalah suami puan, kerana suami puan yang sebenarnya telah kembali ke rahmatullah.

Mengenai soalan kedua, orang yang telah meninggal dunia, ruhnya kembali kepada Allah S.W.T yang diistilahkan berada dalam alam Barzakh, ianya adalah alam Akhirat. Justeru insan yang telah pergi kepada-Nya tidak mungkin dan tidak boleh kembali ke alam dunia kerana Barzakh itu bermaksud pemisah atau penghalang. Ia seumpama sebuah tembok yang kukuh memisahkan di antara dua alam.

Maka orang yang telah kembali kerahmatullah atau kembali ke alam Barzakh ini, dia tidak boleh kembali. Dalam Surah az-Zumar, ayat 42 yang bermaksud, “Allahlah yang memisahkan nyawa dengan mati daripada makhluk-Nya dan memegang yang telah pasti mati ini dengan tidak membenarkannya kembali ke dunia.”

Ayat al-Quran lain ada menyebut,“Bahawa selepas kematian, mereka akan kembali ke alam Barzakh sehinggalah kepada hari Kiamat.”

Banyak ayat al-Quran dan al-Hadis yang menunjukkan bahawa ruh si mati berada dalam suatu kepungan Barzakh yang tidak mungkin boleh kembali ke alam dunia. Sebagaimana kita ke alam dunia tidak boleh masuk ke alam Barzakh (tanpa ada sebab).

Logiknya kita lihat, kalaulah ruh orang yang telah mati itu boleh kembali ke dunia, boleh melakukan berbagai-bagai perkara, sudah tentu orang-orang yang telah meninggal itu seolah-olahnya tiada seksa kubur, tiada balasan dan seolah-olahnya mereka bebas ke sana ke mari.

Oleh itu, kita harus yakin bahawa ruh si mati tidak boleh kembali untuk menziarahi keluarganya, rumahnya atau sebagainya.

Kepada soalan ketiga, pada saya orang yang telah meninggal tidak boleh kembali ke dunia. Peninggalannya adalah peninggalan yang terakhir, sebab itu ia disebut kembali ke rahmatullah.
Sama ada dia (si mati) berada dalam keadaan penuh dengan nikmat alam Barzakh yang bermula dari alam kubur, atau bermula dengan seksa kubur seperti yang sabit dalam nas-nas al-Quran dan as-Sunnah yang wajib diimani adanya azab kubur.

Dalam kedua-dua keadaan ini, si mati sudah tidak mungkin akan kembali ke dunia ini kerana dia berada dalam alam Barzakh.

Akan tetapi berlaku dalam dunia ini, orang mengatakan ruh orang mati, kembali ke dunia dan meminjam jasad-jasad yang tertentu yang jadi seperti orang kehilangan akal, bercakap dengan nada, irama dan kelakuan orang yang telah mati.

Daripada pengalaman saya, ada juga yang medakwa dirinya Nabi Khidir, Sheikh Abdul Qadir Jailani, Wali Songo dan sebagainya. Ada juga pihak tertentu yang mengubat orang, yang mengajar ilmu-ilmu yang didakwa kununnya diambil daripada orang yang telah mati.

Semuanya ini adalah tidak benar dan ditolak oleh Islam.

Seolah-olah wujudnya fahaman mengembalikan ruh, dalam istilah Arabnya disebut tanasuthil arwah – reincarnation -. Fahaman ini ada dalam fahaman Buddha, Hindu dan fahaman purba. Islam bersih daripada semua fahaman ini.

Umat Islam mesti beriman bahawa ruh adalah untuk dirinya sahaja dan tidak boleh masuk dalam diri orang lain. Satu jasad satu ruh, apabila dipisahkan, jasad akan tinggal di alam dunia, ruh kembali ke alam Barzakh.

Apabila tibanya nanti di hari Qiamat, jasad akan dijadikan semula dan ruh akan mencarinya untuk dihisabkan oleh Allah S.W.T. Alam Barzakh adalah suatu alam yang ditutup rapat.

Oleh kerana itu pada pandangan saya tidak timbul sama sekali manusia yang telah mati, ruhnya boleh menganggu atau menyakiti manusia.

Wallahu a’lam.Tuan Guru Dato’ Dr Haron Din

Dipetik dari kitab: “Menjawab Persoalan Makhluk Halus: Kaitannya Dengan Penyakit Dan Pengubatan – Bersama Tuan Guru Dato’ Dr. Haron Din”.