Mulakan Dengan

Mulakan Dengan

20110509

++ Wanita Bekerja Tak Perlu Nafkah Suami? ++

Saya terbaca dalam Majalah Solusi (Isu 30) tentang soalan seorang isteri.

‘Suami saya telah bernikah lagi di Thailand tanpa pengetahuan saya. Semenjak berkahwin dua, dia tidak pernah memberikan wang saku kepada saya seperti dahulu iaitu semasa dia belum berkahwin dua. Bukan itu sahaja, bahkan nafkah anak-anak juga kadangkala terabai.

Apabila saya membuat aduan kepada pihak berkuasa agama, seorang pegawai agama memberitahu bahawa apabila seorang isteri diizinkan bekerja oleh suaminya, maka keizinan tersebut boleh menggantikan nafkah yang wajib diberikan setiap bulan.’

Dari sudut hukum syarak – sama ada berpoligami atau tidak – sudah menjadi kewajipan kepada suami untuk memberi nafkah kepada isteri dan anak-anaknya.

Poligami seharusnya tidak dijadikan alasan untuk tidak memberi nafkah.

Sementara dalam soal benarkah isteri yang bekerja dikecualikan daripada menerima nafkah suami pula.

Sebahagian ulama fiqah kontemporari berpendapat bahawa isteri yang bekerja (di luar rumah) tetap berhak mendapat nafkah daripada suaminya, dengan syarat dia bekerja dengan keizinan daripada suaminya. Ini bererti, apabila si isteri bekerja tanpa mendapat keizinan suami, maka ketika itulah dia tidak berhak mendapat nafkah.

Ini disebabkan hukum asal bagi wanita adalah mereka tidak perlu keluar rumah untuk bekerja kerana nafkahnya ditanggung oleh suami bagi yang telah berkahwin, manakala yang belum berkahwin pula akan ditanggung oleh bapa atau wali nya.

Tetapi isu ini masih lagi menjadi perbahasan dan perdebatan para cendekiawan.

Bagi para isteri di luar sana, jika anda menghadapi masalah seperti ini, rujuklah kepada Mahkamah Syariah untuk jalan penyelesaian terbaik. Tetapi jika anda ingin meneruskan dengan perceraian, buatlah dengan cara yang baik. Tuntutlah dengan kaedah fasakh ataupun taklik. Sila rujuk lafaz taklik anda di surat nikah seperti yang pernah di lafazkan oleh suami sewaktu pernikahan dahulu.








20110507

++ Jari Jemari Tangan ++

Apabila kita mengkaji struktur anatomi tangan, kita akan dapati ia sebenarnya satu struktur yang sangat kompleks, berliku-liku dan juga sangat menarik.

Meskipun tangan merupakan sebahagian struktur tubuh yang agak kecil, namun ia sebenarnya dibentuk oleh 27 tulang daripada pergelangan tangan sehingga ke hujung jari.

Ia di kategorikan sebagai tulang karpal yang membentuk pergelangan tangan, metakarpal yang membentuk tangan dan tulang falanks (tulang ruas jari) yang membentuk jari jemari.

Setiap jari mempunyai tiga tulang falanks melainkan ibu jari yang mempunyai dua tulang falanks sahaja. Ia dibahagikan kepada tiga barisan iaitu barisan pertama (proximal phalanx), barisan pertengahan (middle phalanx) dan barisan hujung (distal phalanx). Setiap barisan disambung oleh sendi-sendi kecil yang begitu kompleks dan unik.

Setiap sendi disokong oleh ligamen-ligamen untuk memastikan kestabilannya dalam melakukan kerja. Menariknya, tiada struktur lain di dalam badan kita yang mana tulang-tulang kecil disambung dan dibenarkan bergerak bebas ke hadapan dan ke belakang, ke kiri dan ke kanan. Ia hanya terdapat pada jari jemari sahaja.

Antara nikmat Allah s.w.t. yang begitu besar kepada kita adalah tangan.

Setiap tangan lazimnya mempunyai lima jari dan ia memiliki fungsi yang tidak terkira banyaknya. Dengan jari inilah kita mengambil dan meletakkan sesuatu barang, menggenggam, memukul, membuat kerja, menulis, menggunakan komputer dan sebagainya.

Jari jemari yang Allah s.w.t. kurniakan kepada kita sebenarnya boleh mempengaruhi destinasi kita di akhirat kelak, samada syurga atau neraka.

Dengan jari jemari kita melakukan kebaikan dan ibadah kepada Allah s.w.t. Kita menghitung kalimah zikir dengan jari. Kita meluruskan jari telunjuk ketika solat apabila mengucapkan kalimah syahadah. Kita bersedekah dengan menghulurkan wang menggunakan jari (tangan).

Dan dengan jari jemari juga kita melakukan dosa. Menulis fitnah dan sesuatu yang tidak berasas di blog atau di website. Penjenayah menarik picu pistol untuk mencederakan orang juga menggunakan jari jemari.

Antara keajaiban jari jemari adalah terletak pada ibu jarinya. Setiap manusia di dunia ini walau kembar sekalipun, mempunyai pola cap jari yang berlainan. Ianya akan kekal dan tidak berubah melainkan terdapat kecederaan yang mengakibatkan parut kekal pada ibu jari. Kajian menyatakan bahawa cap jari mulai terbentuk sejak kita berusia tiga bulan di dalam kandungan lagi!

Alangkah indah dan unik nya ciptaan Allah s.w.t. ini. Sesungguhnya jari jemari yang sangat kompleks mampu disusun cipta oleh Allah s.w.t. dan disusun kembali di hari akhirat kelak, apatah lagi struktur lain yang besar dan tidak kompleks.

Wallahu’alam…..




- Solusi