Mulakan Dengan

Mulakan Dengan

20130826

++ Guna Beg Kolostomi Tak Dianggap Bawa Najis ++

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan yang bersidang pada September 2007 membincangkan hukum pelaksanaan ibadah bagi pesakit yang menggunakan beg kolostomi dan memutuskan:

~  Pesakit yang menggunakan beg kolostomi dikategorikan sebagai mereka yang mengalami masalah darurat dan tidak dianggap sebagai menanggung najis.  Oleh itu, mereka tidak perlu mengosongkan atau membersihkan beg kolostomi setiap kali berwuduk atau menunaikan solat.

~  Wuduk yang diambil oleh pesakit harus digunakan untuk melaksanakan semua ibadah termasuk menunaikan fardu solat sehingga wuduk berkenaan terbatal.

~  Isu batal wuduk apabila keluar sesuatu menerusi salah satu daripada dua kemaluan seperti yang dibahaskan oleh ulama adalah dalam konteks orang yang sihat.  Bagi yang berpenyakit atau mengalami masalah keluar sesuatu di luar kawalan, Islam memberikan kaedah penyucian dan pelaksanaan ibadah kerana mereka dianggap orang yang dalam keuzuran.

~  Masalah kolostomi berbeza dengan masalah sulus al-bawl (kencing berterusan) kerana kebersihannya lebih terjamin.  Oleh itu dari sudut hukum, ia tidak boleh qias kepada mereka yang mengalami sulus al-bawl.

~  Memandangkan pengeluaran najis bagi mereka yang mengalami masalah kolostomi tidak boleh dikawal, mereka dianggap berada dalam keadaan darurat yang tidak terikat dengan taklif syarak dalam beberapa aspek ibadah.  Mereka juga tidak dianggap sebagai menanggung najis dan boleh melaksanakan semua ibadah.

~  Pesakit kolostomi dibolehkan mengambil sekali wuduk untuk semua ibadah yang hendak dilaksanakan sekiranya wuduk berkenaan tidak terbatal.  Tetapi sekiranya tiada kesukaran bagi mereka untuk memperbaharui wuduk, ia adalah disunatkan.

~  Islam adalah agama yang memberi kemudahan.  Oleh itu pesakit tidak wajar disyaratkan untuk mengosongkan atau membersihkan beg kolostomi setiap kali berwuduk kerana ia akan menyukarkan mereka melakukan ibadah.


> Harian Metro 24 Ogos 2013 <





No comments: